Matlamat pasukan bolasepak MASUM 2008
Sebagai tuan rumah kepada Sukan Universiti ASEAN ke XIV 2008,
sudah tentu matlamat utama setiap anggota pasukan bolasepak MASUM, samada pemain hinggalah ke peringkat tenaga jurulatih, pihak
pengurusan pasukan dan MASUM sendiri, kami bertekad untuk membawa kejayaan kepada warga universiti serta rakyat Malaysia
keseluruhannya. Kejayaan ini bakal mencipta sejarah yang tersendiri malahan sejarah ini bukan sekadar untuk warga universiti
semata-mata sebaliknya untuk seluruh rakyat Malaysia yang mencintai serta menyanjungi sukan bolasepak.
Sejarah lampau memaparkan bahawa bolasepak adalah sukan terulung dalam setiap pertandingan dan di
Sukan Universiti ASEAN ke XIV 2008, perkara ini tidak akan terkecuali. Berjayanya pasukan bolasepak bermakna
berjayalah sukan ini secara keseluruhannya dan jika gagal pasukan bolasepak, maka gagal juga sukan ini secara keseluruhannya.
Untuk itu para pemain dan pegawai serta jurulatih perlu berikrar untuk memberikan yang terbaik disusuli dengan tekad dan keazaman
yang tinggi bersama komitmen dan kesungguhan yang padu untuk memastikan Juara Bolasepak milik MALAYSIA.
Untuk semua warga Malaysia amnya dan warga universiti khususnya, doakanlah kejayaan pasukan bolasepak
MASUM dan mudah-mudahan dengan berkat doa semua, kejayaan akan menjadi milik kita, insyaAllah
Barisan pemain yang bakal terpilih untuk mewakili pasukan bolasepak MASUM
ke Sukan Universiti ASEAN 2008 ini adalah terdiri daripada pemain dari pelbagai peringkat pendedahan. Ada
di kalangan mereka yang telah beraksi di peringkat antarabangsa dengan mewakili Persatuan Bolasepak Malaysia
di samping sebilangan besarnya adalah terdiri daripada pemain-pemain yang sedang beraksi dalam Liga Malaysia 2007-2008
(Liga Super, Liga Premier, Liga Simpanan dan Piala FAM) bersama pasukan-pasukan profesional negeri, kelab mahu
pun barisan pelapis negeri dan kelab.
Namun begitu, seperkara yang pasti ialah, pemilihan pemain bukanlah berdasarkan
kepada nama pemain-pemain itu sendiri, sebaliknya bersandarkan kepada kualiti-kualiti tertentu yang telah digariskan oleh
Ketua Jurulatih bersama barisan kejurulatihan yang lain. Antaranya ialah komitmen dan keikhlasan untuk menyumbang tenaga kepada
pasukan MASUM dengan mengenepikan alasan-alasan peribadi. Di samping itu, pemilihan juga berdasarkan kepada kualiti pemain
yang telah dikenalpasti melalui Liga Universiti yang sedang berlangsung dan juga pemantauan berkala dalam perlawanan-perlawanan
yang melibatkan pemain-pemain tertentu di dalam Liga Malaysia dan juga SUKMA ke 12 di Terengganu
Darul Iman.
Adalah menjadi harapan bahawa pemilihan yang tidak mengamalkan sikap pilih kasih ini bakal menghadirkan
pemain-pemain yang benar-benar jujur dan komited dalam menggalas cabaran negara ke Sukan Universiti ASEAN 2008 di
Kuala Lumpur nanti, insyaAllah.
|
Encik Muzafar Mohd Din - Pengurus Pasukan |
Visi & Harapan Pengurus Pasukan
Sebagai Pengurus Pasukan yang diamanahkan oleh pihak MASUM,
sudah tentu saya meletakkan harapan agar pasukan ini mampu mencipta kejayaan menjuarai pertandingan ini buat julung kalinya.
Dengan barisan kejurulatihan dan pemain-pemain yang gigih dan komited, saya yakin matlamat ini mampu dicapai. Saya kagum dengan
semangat yang ditunjukkan oleh para pelatih sehingga tahap ini kerana telah memberi kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam
usaha kita melonjakkan nama MALAYSIA di kalangan penggiat sukan di universiti-universiti ASEAN.
Apapun, tiada satu pun kejayaan yang akan datang dengan mudah tanpa usaha.
Terlalu banyak kekangan dan halangan yang perlu diatasi khususnya faktor waktu untuk para pelatih memberi tumpuan terhadap
latihan dan dalam masa yang sama perlu memberi perhatian terhadap kuliah mereka. Namun begitu, kegigihan dan semangat positif
yang ditunjukkan oleh setiap anggota pasukan, memberi kelegaan dan keyakinan bahawa matlamat ini mampu dicapai. Saya amat
yakin dengan setiap perancangan yang sudah diatur akan dapat membuahkan hasilnya nanti, insyaAllah. Kepada setiap anggota
pasukan MALAYSIA ke SUA 2008, salam perjuangan dari saya!
|
Azman Hj Eusoff - Ketua Jurulatih |
Pandangan Jurulatih Terhadap Pasukan
Jika dinilai daripada pemain-pemain secara individu, perlu diakui pasukan
Malaysia punya potensi. Sebilangan besar pemain yang dipilih untuk menyertai latihan pemilihan ini terdiri daripada mereka
yang beraksi di peringkat tertinggi liga di Malaysia (Liga M). Dalam konteks ini sudah tentu mereka dianggap berpengalaman
pada tahap yang kompetitif. Apa pun terlalu awal untuk mentafsirkan kekuatan pasukan Malaysia pada peringkat ini kerana mereka
belum diuji. Adalah difahamkan ini merupakan kali pertama pasukan ini diadun dengan pemain-pemain yang hadir daripada IPT
yang berbeza, sekalipun majoriti adalah mereka yang berada di Lembah Klang.
Apapun, saya kagum dengan semangat dan sikap yang ditunjukkan oleh para pemain yang telah dipilih
untuk membentuk pasukan Malaysia. Sekalipun saya tidak menafikan kehampaan dengan sikap sebilangan pemain yang tidak menunjukkan
minat untuk hadir memberi sokongan. Pemain-pemain seperti Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (UPB/Myteam), Abdul Ghani Abdul
Rahman (Selangor), Khairul Izwan Khalid (Felda United), Mohd Hasmarul Fadzir Hassan (Kuala Lumpur) dan Mohizam
Shah Dawood Shah (PKNS) telah menunjukkan sikap dan semangat yang dihormati dan sewajarnya menjadi contoh kepada
pemain-pemain lain dalam menyumbang ke arah mengharumkan nama negara.
Dari sudut permainan, perlu diakui barisan penyerang dan pertahanan memerlukan tumpuan yang lebih
khusus. Ini adalah kerana, pemain-pemain belum mampu menjelmakan persefahaman (pertahanan) dan ketajaman (penyerang) dan tempoh
yang ada akan dimanafaatkan sepenuhnya ke arah mempertingkatkan prestasi mereka. Sementara itu, barisan tengah memberi harapan
yang positif betapa mereka mampu mengemudi dengan baik.
Walaubagaimanapun, dengan program yang telah diatur, adalah diharapkan ianya dapat digunakan sepenuhnya
untuk meningkatkan prestasi keseluruhan pemain dan pasukan dalam usaha Malaysia mencari kejayaan sulung di Kuala Lumpur nanti,
insyaAllah
Kem Pemantapan 2 & Team Building di Sungkai, Perak
Pasukan bolasepak baru-baru ini telah menjalani latihan di Kem Pemantapan 2 bertempat di UPM,
Serdang dan Kem Nadi, Sungkai, Perak. Dalam salah satu daripada perlawanan persahabatan yang di
atur pada 18/08/08 bertemu KL Plus FC, MASUM tewas 0-3. Sekalipun tewas, telah nampak akan peningkatan dari
segi kefahaman taktikal para pemain khususnya dalam separuh masa kedua.
Pada 20/08/08, pasukan bolasepak yang terdiri daripada 16 pemain dan 2 jurulatih telah melaporkan
diri untuk menghadiri Kem Bina Semangat bertempat di Kem Nadi, Sungkai, Perak. Kem 3 hari ini diadakan khusus
bagi membentuk jatidiri para atlit di samping mengujudkan semangat berpasukan di kalangan para atlit yang akan mewakili Malaysia
ke SUA 2008. Turut serta di dalam kem ini ialah atlit dari acara olahraga, renang, rugbi, hoki dan bola tampar.
Sekembalinya dari Sungkai, pasukan bolasepak sekali lagi menghadapi ujian persahabatan dengan kelab
bolasepak Divisyen 2 dari UAE. Kefahaman taktikal terus terserlah dan hasilnya perlawanan tersebut berkesudahan dengan seri
1-1. Dari 2 perlawanan yang dilalui, masih terdapat ruang yang boleh dipertingkatkan sebelum cabaran sebenar hadir nanti,
insyaAllah
Senarai 22 pelatih yang terpilih
Seramai 22 pemain telah terpilih bagi menjalani latihan fasa akhir yang akan bersambung selepas Hari
Raya Aidil Fitri nanti. Pemilihan dibuat dengan teliti oleh barisan kejurulatihan dalam mengenalpasti pelbagai aspek yang
mampu menterjemahkan pembentukan sebuah pasukan yang mantap bagi menggalas cabaran dan amanah yang telah diserahkan kepada
pasukan bolasepak negara. Seramai 3 pelatih terpaksa diketepikan daripada senarai 25 pelatih yang hadir.
Walaubagaimanapun, peluang pelatih-pelatih yang digugurkan untuk dipanggil semula tetap terbuka dan
semuanya bergantung kepada komitmen dan prestasi serta peningkatan yang bakal ditunjukkan oleh pelatih-pelatih yang ada. Senarai
22 pelatih ialah :-
Penjaga Gol - Mohamad Fahmi Mohd Isa
(KLIUC)
- Mohd
Saiful Aswad Kamaruddin (UM)
Pertahanan - Abdul Ghani Abdul Rahman
(UPM)
-
Mazlan Yaakob (UTEM)
- Mohd Fadzirul Zakaria (UPM)
- Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim (Politeknik)
- Mohd Hasmarul Fadzir Hasan (UPM)
- Mohd Shahid Othman (UiTM)
- Mohd Zaiza Zainal Abidin (UPM)
- Razlan Joffri Ali (UPM)
Tengah - Amiro Faizal Azali (UPM)
- Lucian Dumat (UPSI)
- Mohd Aizuddin Othman (Politeknik)
- Mohd Hafiz Mohd Zaini (UniKL)
- Mohd Norhafizzuan Jailani (UiTM)
Penyerang - Ahmad Zaki Basharuddin (UiTM)
- Khairul Izwan Khalid (KLIUC)
- Mohd Efindy Mohamad Saleh (UM)
- Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (UM)
- Mohd Syafiq Mohd Zahari (UniKL)
- Mohizam Shah Dawood Shah (UPM)
- Thinagaran Sathasivam (UUM)
Lawatan Pendedahan ke Luar Negara
Setelah gagal mengunjungi Indonesia sebagai persiapan menghadapi SUA 2008, kini
pasukan bolasepak MASUM merasa lega kerana akhirnya berpeluang mendapat pendedahan yang diharapkan di Bangkok, Thailand. Dengan
tempoh yang singkat, pengurusan pasukan terpaksa bertungkus lumus dalam memastikan segala perancangan yang diatur dapat
dilaksanakan dengan jayanya. Pasukan bolasepak MASUM akan berlepas ke Bangkok, Thailand dalam siri lawatan pendedahan dan
perlawanan persahabatan dari 18 hingga 23 Oktober 2008. Seramai 4 pegawai dan 20 pemain akan meyertai lawatan ini dan menjadi
harapan agar ianya bakal menjadi medan pengukuhan pasukan di samping mencari pendedahan terbaik di peringkat kompetitif bagi
tujuan menepati matlamat yang diharapkan, insyaALLAH.
Persatuan Bolasepak Thailand telah mengaturkan 3 perlawanan yang berkualiti tinggi
dengan mendapatkan 3 kelab Liga Premier Thailand untuk menjadi tuanrumah kepada kunjungan pasukan MASUM.
3 kelab berkenaan ialah Phichit Province, Chula-Sinthana FC dan Coke-Bangpra FC.
Kecederaan Fadzirul Satu Tamparan Awal
Kecederaan yang dialami oleh tonggak pertahanan yang juga Penolong Ketua Pasukan, Mohd Fadzirul
Zakaria dalam perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur pada Sabtu 11 Oktober 2008 lalu,
menjadi tamparan awal kepada pasukan MASUM dalam rangka persiapan menghadapi SUA 2008. Kecederaan tersebut
agak serius dan dijangka akan mengambil masa sekurang-kurangnya 2 bulan untuk pulih.
Pengurusan pasukan perlu segera mengenalpasti calon yang sesuai untuk digandingkan dengan Hasmarul
Fadzir Hassan di bahagian tengah yang mana telah menunjukkan persefahaman yang mantap bersama Fadzirul.
pasukan. Antara mereka yang mungkin diletakkan untuk bergandingan dengan Hasmarul ialah Mohd Zaiza Zainal Abidin atau pun
Abdul Ghani Abdul Rahman. Apapun, sebarang perubahan yang bakal diambil diharapkan mampu mengekalkan kemantapan pasukan.
Reeshafiq Alwi Bakal Mantapkan Pasukan MASUM
Kehadiran pemain tengah berpengalaman Kuala Lumpur dan
KL Plus FC, Reeshafiq Alwi dari Universiti Malaya untuk menyertai latihan pasukan bolasepak MASUM, dilihat
mampu memantapkan lagi pasukan ini, khususnya di bahagian tengah. Reeshafiq dipanggil pada peringkat ini bagi mengisi
kekosongan yang ditinggalkan oleh penolong ketua pasukan, Mohd Fadzirul Zakaria yang mengalami kecederaan
(keretakan) di bahagian tumit kiri.
Pengalaman yang dimiliki pemain ini dilihat aset kepada pasukan khusus bagi mengemudi bahagian tengah
pasukan di samping membimbing beberapa pemain muda yang terdapat di dalam pasukan, insyaALLAH.
Lawatan Pendedahan di Bangkok - Wilayah Phichit (1) MASUM
(1)
Pasukan MASUM telah seri (1-1) dengan pasukan tuan rumah yang juga juara Liga Kebangsaan Thailand
di Kompleks Sukan Phichit yang terletak kira-kira 370km dr kotaraya Bangkok. Perlawanan tersebut telah banyak
mendedahkan para pemain kepada kemahiran teknikal pasukan lawan. Sebaliknya pasukan MASUM mempamerkan aksi yang penuh disiplin
dan berorientasikan taktikal bagi menghadapi lawan yang jauh lebih hebat. Pasukan lawan mendahului pada minit ke 68 hasil
kesilapan di barisan pertahanan manakala Mohd Haris Safwan menyamakan kedudukan pada mini ke 72 hasil pergerakan
pintar antara Reeshafiq Alwi, Norhafizzuan dan Mohd Haris Safwan. Apapun yang jelas
ialah tahap kecergasan para pemain MASUM masih rendah dah perlu segera diatasi.
Pasukan MASUM - Mohd Fahmi Mohd Isa, Abdul Ghani Abdul Rahman (Razlan Joffri Ali),
Mohd Hasmarul Fadzir Hassan, Mohd Zaiza Zainal Abidin (Mazlan Yaakob), Mohd Shahid Othman (Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim), Mohd
Norhafizzuan Jailani, Amiro Faizal Azali (Reeshafiq Alwi), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal, Khairul Izwan Khalid (Mohizam Shah
Dawood Shah), Lucian Dumat, Mohd Shafiq Mohd Zahari (Ahmad Zaki Basharuddin),
Perlawanan Pendedahan 2 - Chula Sintana FC (5) MASUM
(0)
MASUM tewas 0-5 dalam perlawanan persahabatan kedua menentang kelab Liga Premier Thailand, Chula-Sintana
FC. Perlawanan telah dilangsungkan di Stadium Chulalongkorn pada jam 4.15 petang (waktu tempatan).
Bermain di atas padang tiruan, jelas menampakkan ketidakselesaan pemain-pemain MASUM yang menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan
diri. Jurulatih pasukan membuat rombakan kecil kepada kesebelasan utama dengan menurunkan gandingan baru di barisan pertahanan.
Kecederaan yang dihadapi oleh Abdul Ghani Abdul Rahman dalam menyaksikan Razlan Joffri Ali
kekal di pertahanan kanan. MASUM ketinggalan 0-1 dalam separuh masa pertama
pada minit ke 37 hasil tandukan penyerang lawan dari satu sepakan percuma. Dalam separuh masa kedua MASUM ketinggalan 0-2
hasil sepakan penalti setelah Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim menjatuhkan pemain lawan dalam kotak penalti. Kesalahan
tersebut juga menyaksikan pemain pertahanan itu dilayangkan kad kuning kedua yang menyebabkan beliau diarahkan meninggalkan
padang. Beraksi dengan 10 pemain dalam tempoh 30 minit bukan satu perkara mudah apatah lagi bermain dengan pasukan yang memiliki
kualiti teknikal yang amat tinggi. Kekurangan pasukan jelas digunakan secara optima oleh pasukan lawan untuk menambahkan 3
gol lagi dan menjadikan kedudukan 0-5. Keletihan, tahap kecergasan rendah dan kelemahan mental para pemain jelas terbukti
di dalam perlawanan pendedahan ini dan satu pendedahan yang amat berguna kepada barisan kejurulatihan dalam mengenalpasti
kekuatan dan kelemahan pasukan sebelum bermulanya SUA 2008.
Pasukan MASUM - Mohamad Fahmi Mohd Isa, Razlan Joffri Ali, Mohd Hasmarul Fadzir Hassan
(Mohd Zaiza Zainal Abidin), Mazlan Yaakob, Mohd Hafriz Farhan Ab Rahim, Reeshafiq Alwi, Mohd Norhafizzuan Jailani (Mohd Aizuddin
Othman), Mohd Haris Safwan Mohd Kamal (Khairul Izwan Khalid), Mohizam Shah Dawood Shah (Mohd Shahid Othman), Lucian Dumat,
Ahmad Zaki Basharuddin.
Perlawanan Pendedahan - Coke-Bangpra FC (1) MASUM (0)
Pasukan MASUM mengakhiri lawatan & perlawanan pendedahan di kotaraya Bangkok dengan kekalahan
kepada satu lagi kelab Liga Premier Thailand, Coke-Bangpra FC, 0-1. Gol kemenangan lawan dijaringkan pada
minit ke-89.
Kedua-dua pasukan telah mempamerkan corak permainan yang pantas di atas padang yang licin dan becak
akibat hujan lebat yang turun 2 jam sebelum perlawanan berlangsung. Apapun pujian harus diberikan kepada kesebelasan pertama
yang turun kerana telah menunjukkan kesungguhan di sepanjang 90minit permainan. Sekalipun memang tidak dinafikan masih terdapat
beberapa kelemahan yang terjelma di dalam perlawanan tersebut. Secara keseluruhan, pihak kejurulatihan
berpuas hati dengan apa yang dilihat dan yakin bahawa beberapa kelemahan yang ujud akan sempat diperbaiki, insyaAllah.
Pasukan MASUM - Mohd Saiful Aswad Kamaruddin, Razlan Joffri Ali, Mazlan Yaakob (Mohd
Hasmarul Fadzir Hassan), Mohd Zaiza Zainal Abidin, Reeshafiq Alwi, Amiro Faizal Azali (Mohd Norfizzuan Jailani), Mohd Aizuddin
Othman (Lucian Dumat), Mohd Efendi Mohamad Saleh (Ahmad Zaki Basharuddin), Khairul Izwan Khalid (Mohd Haris Safwan Mohd Kamal),
Mohizam Shah Dawood Shah (Mohd Syafiq Mohd Zahari).
|